Seminar politik : Apa yang PAS dapat ?

Cadangan asal Mursyidul Am PAS, Nik Aziz Nik Mat menulis di blognya mengesyorkan EGM untuk memecat beberapa 'pemimpin bermasalah'termasuk nama Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Datuk Dr Hassan Ali yang merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor.

Tetapi apabila Mesyuarat Khas diadakan, Nik Aziz gagal mempertahankan hujah-hujahnya, terpaksa keluar awal dari mesyuarat kerana alasan kesihatan. Memang kesihatan Nik Aziz, tidak begitu stabil dalam sehari dua ini. Khabarnya Mursyidul Am baru saja keluar dari IJN untuk rawatan susulan.

Peninggalan Nik Aziz, mesyuarat khas berlanjutan hingga ke jam 1 pagi. Banyak perkara dibahaskan, tetapi keputusan mesyuarat, mereka menolak EGM seperti yang dicadangkan oleh Mursyidul AM dan diganti dengan Seminar Politik. Keputusan kedua adalah ahli mesyuarat menolak cadangan Mursyidul Am untuk memecat 'dua tiga kerat pemimpin bermasalah', sebaliknya menyiasat kepincangan beberapa kerat pemimpin tertinggi PAS Selangor.

Hari ini, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang ditugaskan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PAS Pusat mengesahkan Abdul Hadi Awang, Nasharuddin Mat Isa dan Mustafa Ali tidak disiasat.

"Kita tak perlu nak siasat semua, tak ada pertuduhan... tak perlulah nak siasat," katanya kepada mStar Online.

"Mesyuarat hanya putuskan untuk kita siasat PAS Selangor, kita bersikap adil, bukan untuk melindungi mana-mana pihak," katanya lagi. Klik di sini

Seminar politik, apa PAS dapat ?

Dr Aziz Bari silap baca politik. Dia menjangka apabila gesaannya disambut oleh Nik Aziz, sudah tentu perwakilan PAS akan menyokong saranannya. Dia menganggap apabila Mursyidul Am telah bersetuju dengan pandangannya, maka dia merasakan semua perwakilan PAS akan akur dengan saranan Mursyidul Am PAS itu. Nik Aziz adalah ikon PAS, kata Dr Aziz Bari dengan ghairah kepada Malaysiakini.

Sebab itu beberapa hari sebelum dijemput berseminar, Dr Aziz Bari menghamburkan semua peluru kritikannya kepada Hadi Awang dalam laman web Malaysiakini. Habis semua peluru dimuntahnya. Hadi lembab! Hadi phobia dengan kekalahan di Marang dan Terengganu! Hadi tidak setaraf dengan Yusof Rawa dan sebagainya yang membawa motif, Hadi perlu berundur dari jawatan Presiden PAS.

Sekali lagi Dr Aziz silap baca. Ketika menyampaikan hujah-hujah di seminar PAS, Dr Aziz mengharapkan sokongan perwakilan, tetapi sebaliknya perwakilan PAS mengherdiknya semula.

"Saya tak mahu tengok muka Aziz Bari", kata Abu Bakar Chik, salah seorang perwakilan. Tetapi herdikan Abu Bakar Chik masih kurang berbisa jika dibandingkan dengan penghinaan Dr Aziz Bari kepada Presiden PAS di Malaysiakini.

Bukan setakat Dr Aziz Bari yang menjadi bahan kritikan, tetapi juga kritikan mula ditujukan kepada Nik Aziz sendiri.

"Nik Aziz sendiri tunjuk teladan kurang baik, buka rahsia parti dalam blog", kata Suhaizan Kayat, perwakilan dari Johor.

"Dulu kita berbangga sebut perjuangan kita menegakkan Islam..tetapi sekarang, kita takut-takut nak sebut 'perjuangan Islam' sebab nak jaga hati parti kawan", kata Khairul Anuar Wafa, perwakilan dari Negeri Sembilan.

Sebelum ini tidak pernah nada-nada kritikan ditujukan kepada Mursyidul Am PAS, tetapi kini nada-nada seumpama itu semakin jelas kedengaran.

Yang Dr Aziz Bari gagal baca, kenapa perwakilan bertindak menyerangnya semula ? Perwakilan tidak beritahu kepada media apa yang bermain di minda mereka. Tetapi Dr Aziz telah menwar-warkan apa yang bermain di mindanya kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Dia (Aziz Bari) orang luar..kita (perwakilan PAS) yang bermain dalam padang", gulung Presiden PAS semasa ucapan penutup.

Yang Dr Aziz gagal membaca apa yang bermain dalam minda perwakilan PAS adalah mereka (perwakilan) menganggap Dr Aziz 'orang luar', bukan 'orang politik' yang hanya pandai berteori, tetapi tidak ada praktikal.

Bukan setakat itu, yang utama bermain dalam minda perwakilan adalah mereka menganggap suara Dr Aziz adalah 'suara Anwar' yang mahu Hadi Awang berundur jawatan Presiden.

"Kenapa hanya desak Hadi saja letak jawatan, kenapa tidak desak Anwar ?", sayup-sayup kedengaran suara perwakilan.

Tampil pula penceramah kedua, Dr Abu Hassan Hasbullah dari Universiti Malaya. Dia tampil dengan hujah-hujah statistik dengan mengatakan hasil kajiannya mendapati sokongan generasi muda dan media baru (internet) terhadap PAS merosot selepas pilihanraya umum lalu, iaitu selepas PAS bergabung dengan PKR dan DAP.

Dr Abu Hassan berkata kajian berkenaan turut meneliti laman-laman blog berunsur politik dan mendapati blog-blog yang sebelum ini menyokong PAS telah kembali menjadi 'atas pagar'.

"Kajian menunjukkan blog-blog sedemikian meningkat 213 peratus,", katanya.

Cuma kajian Dr Abu Hassan tidak mengkaji faktor apa generasi muda mula tidak menyokong PAS dan faktor apa blog-blog yang sebelum ini sokong PAS kini kembali jadi atas pagar ?

Cuma Dr Hassan beri 'clue' kemerosotan imej PAS, selepas PRU 12 iaitu selepas PAS bergabung dengan PKR dan DAP dalam gabungan longgar, Pakatan Rakyat.

Kalau dibaca di luar analisis Dr Hassan itu, PAS mula merosot selepas PRU 12. Maknanya selepas tertubuhnya PR yang beketuakan manusia bernama Anwar Ibrahim. Makna sama ada suka atau tidak, kena terima hakikat, PAS merosot dan sentiasa bergolak hingga ke hari ini berpunca dari satu faktor : Anwar Ibrahim!

Jadi kembali kepada persoalan pokok. Apa yang PAS dapat daripada Seminar Politik ? PAS dapat persepsi negatif yang dihadiahkan daripada dua pengkaji politik, Dr Aziz Bari dan Dr Hasbullah Hassan ? Klik di sini

Itu sahaja yang PAS dapat ?

Kalau itu yang PAS dapat, tidak payah diadakan seminar, kerana ia akan lebih mengeruhkan keadaan dan memanjangkan polemik yang sebenarnya dikehendaki oleh Anwar Ibrahim!



0 comments:

Post a Comment