Benarkah Anwar peralatkan Husam Musa kuasai PAS ?

Ada persamaan antara Anwar Ibrahim dan Husam Musa, selain sama-sama kelulusan aliran bukan agama di Universiti Malaya, kedua-dua disuluh berminat ’menggunakan’ gerakan Islam untuk berjaya sebagai seorang ahli politikus.

Husam berkelulusan ekonomi, manakala Anwar berkelulusan sastera, tetapi kedua-duanya berminat dengan PAS.

Anwar pernah memimpin ABIM dan pernah diramal menjadi Presiden PAS selepas Asri Muda, tetapi Anwar tidak masuk PAS, sebaliknya masuk UMNO, dengan cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Husam pula mendaki jawatan dalam PAS dan mendapat jawatan tertinggi sebagai Naib Presiden PAS, pernah disebut bakal Menteri Besar Kelantan dan sekarang disebut pula bakal Presiden PAS.

Maknanya titik pertemuan antara Husam dan Anwar adalah GILAKAN KUASA. Pernah disebut bakal Perdana Menteri Malaysia, bakal Menteri Besar Kelantan dan bakal Presiden PAS, tetapi hingga kini semua impian itu gagal dicapai.

Anwar tidak mungkin dapat kuasai PAS kerana dia bukan ahli PAS, dan dia dianggap orang luar sebagai defacto PKR. Dalam PKR, memang benar Anwar berkuasa, kerana dia dianggap ’defacto’, tetapi masih boleh berpengaruh ke atas PAS sebagai ketua Pakatan Rakyat (PR). Tetapi ketua PR bukan bermakna Anwar berkuasa mutlak ke atas PAS.

Husam Musa, orang dalam PAS yang dilihat intim dengan Anwar dianggap calon paling berpotensi untuk menjadi Presiden PAS, kerana kedudukannya sekarang sebagai Naib Presiden PAS, dua tangga lagi sebelum bergelar Presiden PAS.

Husam amat berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan dengan pertandingan dalam PAS meskipun terdapat banyak pencalonan memihak kepadanya supaya bertanding Timbalan Presiden PAS.

Ketika ditanya media, Husam kelihatan agak keberatan menerima pencalonannya sebagai Timbalan Presiden PAS, seolah-olah dalam kepalanya memikirkan bukan jawatan Timbalan Presiden yang sedang diburunya.

Bacaan fikiran Husam kemudiannya diterjemahkan oleh MSO (penulis politik) dan Nasrudin Tantawi (Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat), sebenarnya hasrat sebenar Husam adalah mahu bertanding jawatan Presiden PAS,.

Barangkali sebab itu Husam keberatan mengulas, memandangkan bahu yang digalasnya amat berat, merempuh ustaz Hadi Awang yang bergelar ulama. Lagipun ustaz Nik Abdul Aziz berkata berkali jawatan Presiden dan Timbalan hanya sesuai untuk ulama dan orang yang bercita-cita untuk bertanding harus ukur baju di badan sendiri.

Ramai berpendapat sindiran ustaz Nik Aziz itu sebenarnya ditujukan kepada Husam Musa kerana melihat isyarat daripada tokoh-tokoh penting PAS Kelantan yang secara jelas memukul Husam.

Ustaz Mohd Daud Iraqi, ketua Dewan Ulama PAS Kelantan mengeluarkan kenyataan tegas mahukan Presiden dan Timbalan mestilah dari kalangan ulama, kerana sudah menjadi tradisi PAS, sejak kepimpinan ulama diperkenalkan semasa zaman ustaz Yusof Rawa menjadi Presiden PAS.

Kenyataan Dewan Ulama PAS Kelantan ini memberi mesej jelas kepada Husam, supaya jangan bertanding, kerana dia tidak sesuai menjawat salah satu daripada jawatan tersebut

Disusuli pula dengan serangan kedua kepada Husam dari dua exco Kelantan yang juga memegang jawatan penting dalam PAS Kelantan. Pertama dari mewakili kumpulan ustaz, Nik Amar yang memegang jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Kedua mewakili golongan profesional, Takiyuddin Hassan yang memegang jawatan Setiausaha PAS Kelantan.

Melihat serangan aktif pembesar-pembesar Kelantan ini, adakah sudah dirancang dan mendapat restu daripada ustaz Nik Aziz yang menjadi Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Kalau tanpa restu, exco-exco kanan kerajaan Kelantan itu tidak berani menyerang Husam tanpa sebab.

Sebabnya semakin terserlah, apabila anak pesuruhjaya PAS Kelantan, Nik Abduh juga turut dicabar jawatan Ketua Pemuda PAS Kelantan, yang sepatutnya diberi laluan mudah kerana anak ustaz Nik Aziz itu sepatutnya tidak ditentang. Penentangnya adalah Abdul Latif, orang yang dikatakan proksi Husam Musa.

Kalau Husam Musa sanggup meletakkan proksi melawan anak ustaz Nik Aziz, bermakna ’anak didik’ sudah makan tuan atau Husam tidak lagi bertuankan tok guru sebaliknya bertuankan ’orang luar’ yang dikatakan bakal Perdana Menteri Malaysia?

Kalau benar Husam sudah bertuan Anwar, bermakna Anwar sedang menyusun grand design besar-besaran untuk menguasai PAS secara dalaman.


Bermula gelaran Erdogan

Gelaran Erdogan diperkenalkan oleh blog anti-husam pada bulan April tahun lepas. Blog itu dipercayai dibina oleh orang dalaman PAS untuk membendung pengaruh Husam yang ditunjuk oleh Anwar untuk menguasai PAS.

Bermakna orang dalam PAS sudah mengetahui grand design Anwar dan Husam sejak tahun lepas dan satu langkah untuk membendung kemaraan dengan mendedahkan konspirasi mereka berdua di dalam blog itu.

Kerana nama Erdogan dipopularkan dalam blog anti-Husam, maknanya Husam adalah ketua kepada kumpulan Erdogan.

Soalnya kenapa nama Erdogan diberi jolokan kepada Husam, kenapa tidak gelaran ’profesional’?

Kumpulan PAS lebih tepat menggambarkan sikap dan perwatakan Husam and the gang sebagai Erdogan, merujuk kepada Recep Tayep Erdogan, Perdana Menteri Turki.

Kenapa nama Erdogan dipilih ?

Menurut Faisal Tehrani, dia ajak pembacanya berhati-hati dengan Tayep Erdogan, kerana katanya kulit nampak Islam, tetapi isi dalam adalah sekular. Erdogan akan mempopularkan dirinya ’jaguh’ Islam, tetapi sebenarnya dia bermain cinta dengan Israel.

Sebab itu Faisal Tehrani menulis Parti Keadilan adalah hamba Amerika. Sekali baca disangkakan Parti Keadilan Malaysia tetapi yang dimaksudkan oleh penulis itu adalah Parti Keadilan di Turki yang dipimpin oleh Recep Tayeep Erdogan.

Maksud penulis itu jelas, sama ada Parti Keadilan di Malaysia atau Parti Keadilan di Turki, kedua-dua adalah hamba Amerika.

Apatah lagi, Anwar Ibrahim pemimpin defacto Parti Keadilan Malaysia adalah penasihat dan sahabat baik kepada Recep Tayeep Erdogan, ketua Parti Keadilan Turki.

Atas premis itu, amat tepat, jika blog anti-Husam memilih istilah Erdogan kepada kumpulan Husam.

Anwar hantar Erdogan berkursus di Turki

Sebenarnya kepimpinan ulama PAS sudah mengesan grand design Anwar menguasai PAS sebelum PRU12. Tetapi perkara itu didiamkan kerana untuk melihat permainan seterusnya.

Ketika itu Anwar berada di Amerika dan sedang aktif berceramah bagi pihak Amerika Syarikat. Salah satu tempat yang sering menjadi kunjungan Anwar adalah Turki.

Sekitar bulan April 2006, Anwar telah mencatur satu gabungan pasukan parti, terdiri daripada PKR, PAS dan DAP ke Turki untuk mempelajari strategi kemenangan Parti Keadilan yang dipimpin oleh Recep Teyep Erdogan.

Wakil PAS yang hadir adalah Syed Azman Syed Ahmad Nawawi. Tian Chua dan Lee Bon Chye pula mewakili PKR dan Teresa Kok mewakili DAP. Manakala Stevan Gan pula mewakili media pro- pembangkang.

Program itu ditaja oleh World Movement for Democracy (WMD) dengan kerjasama National Endowment for Democracy (NED) diadakan di Istanbul Turki.

Recep Tayyip Erdogan, Anwar Ibrahim dan Kim Campbell (Secretary-General, Club of Madrid) memberi ucap utama dalam program bertema "Advancing Democracy: Justice, Pluralism, and Participation”

Selain itu peserta turut terlibat dalam bengkel yang disampaikan oleh Carl Gershman, (Presiden NED), John Sullivan, Center for International Private Enterprise US, dan Asher Arian, mewakili Israel Democracy Institute.

Rumusan yang mereka belajar dari model Parti Keadilan pimpinan Recep Tayyip Erdogan, untuk menang dalam pilihanraya modelnya mesti Parti Islam Liberal yang mengamalkan tolenransi antara Muslim dan Kristian (Pluralisme) dengan disokong kuat oleh oleh projek ”Demokrasi” Amerika.

Model Islam dan Pluralisme yang menjadi kebanggaan Barat di Turki adalah Hagia Sophia di Istanbul yang asalnya sebuah gereja telah diubah menjadi masjid semasa tentera Islam menawan Konstantinapel (Turki) pada tahun 1453.

Seterusnya Khalifah Uthamaniyah menukar nama kepada Aya Sofia dan dijadikan tempat menunaikan solat Jumaat. Ciri-ciri Kristian di masjid itu dicat semula supaya tidak kelihatan.

Namun selepas runtuhnya Khalifah Uthmaniyah, maka bangkitnya tokoh sekular Mustafa Kamal Atatürk, masjid Aya Sofia telah ditutup dan dijadikan sebagai muzium dengan mengembalikan nama asal iaitu Hagia Sophia. Kamal Artaturk mengorek kembali cat-cat yang memunculkan semula lukisan-lukisan berwajah Kristian.



Model seperti itu di Malaysia adalah Parti Keadilan yang dipimpin oleh Anwar. Namun Parti Keadilan pimpinan Anwar tidak mendapat sokongan majoriti Melayu dan parti majoriti Melayu adalah UMNO dan PAS.

UMNO adalah musuh Anwar, tetapi PAS adalah rakan Anwar dalam PR. Jadi target utama untuk mendapat undi Melayu adalah melakukan grand design ke atas PAS yang kemudiannya muncul kumpulan Erdogan PAS.

Bermakna amat munasabah jika Anwar berpakat dengan Husam untuk melakukan reformasi dan transformasi dalam PAS khusus menjadikan PAS sebagai sayap Melayu Anwar selaras seperti Parti Keadilan di Turki.

Apakah perancangan Anwar dan Husam ini akan berjaya ? Sama-samalah kita saksikan perubahan drastik yang akan berlaku ke atas PAS selepas ini.


0 comments:

Post a Comment