Konspirasi goncang kerusi Presiden PAS ?

Ramai penganalisis politik tidak bersetuju dengan kenyataan di atas. Mereka lebih cenderung kata, muktamar PAS ini hanya cubaan menggoncang kerusi Timbalan Presiden, bukannya kerusi Presiden PAS.

Kerusi Timbalan Presiden sekarang disandang oleh ustaz Nasharudin Mat Isa, Ahli Parlimen PAS Bachok. Kemudian muncul watak Husam Musa yang dikatakan berminat untuk menjadi galang ganti kepada Timbalan Presiden PAS sekarang.


Muncul pula watak Mat Sabu jadi calon alternatif. Kemudian muncul lagi Dr Hassan Ali, pesuruhjaya PAS Selangor yang tidak mempertahankan kerusi Naib Presiden dua tahun lepas.

Ada juga yang mencalonkan Dr Haron Din, tetapi mengikut tradisi Haron Din akan menarik diri jika ada pertandingan. Beliau tidak mahu terlibat dalam aktiviti sepak menyepak ini. Itu bukan budaya Islam.

Bermakna tiga calon hampir pasti akan berebut kerusi Timbalan Presiden iaitu ustaz Nasha (penyandang sekarang), Husam Musa (ketua Erdogan) dan Mat Sabu (calon alternatif).

Manakala Dr Hassan Ali Cuma calon stand by, jika nampak ada ‘peluang’ , beliau akan bertanding, jika tidak beliau akan tarik diri seperti yang dilakukan dua tahun lepas.

Soalnya kenapa berlumba-lumba mahu kejar kerusi Timbalan Presiden ? Sampai dua, tiga empat offer diri, apa maksud itu ?

Ustaz Nasha yang masih berminat mengekalkan jawatan itu digoncang-goncang seumpama kayu buruk. Pelbagai tuduhan dilemparkan kepadanya; tidak aktif, lembab, tidak membantu Presiden dan sebagainya.

Kata ustaz Nasha;

"Insya-Allah saya akan mempertahankan jawatan ini dan saya telah dimaklumkan oleh kawasan yang telah mencalonkan saya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Muktamar Tahunan Pas Kawasan Bachok pada 25 April. Majlis itu dirasmikan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Maksudnya jika ustaz Hadi benar-benar tidak ngam dengan ustaz Nasha, Presiden PAS tidak akan hadir merasmikan PAS kawasan Bachok yang diwakili oleh Timbalannya sekarang.

Bahasa politik senang dibaca, jika penyandang Timbalan Presiden berikrar mempertahankan jawatan dengan disaksikan oleh Presiden maknanya sudah jelas. Dalam politik tidak perlu Presiden mengistiharkan ustaz Nasha regu yang secocok untuk saya, cukup hadir merasmikan muktamar kawasannya sudah jelas maksudnya.

Jadi kalau ustaz Nasha sudah regu yang secocok untuk ustaz Hadi, kenapa mahu digoncang lagi kerusi Timbalan Presiden ?

Betulkah ada konspirasi di sebalik perebutan kerusi Timbalan Presiden itu ?


Sebenarnya proses melobi jawatan Timbalan Presiden PAS bermula pada April tahun lepas, setelah kemenangan besar PR dalam PRU 12. Anwar Ibrahim mendakwa faktor beliaulah merupakan pemacu kemenangan.

Lantas, kerana Anwar dakwa beliau merupakan faktor X, beliau pun menawarkan diri menjadi PM Malaysia pada 16 September 2008.

Ustaz Hadi, ustaz Nasha, Mat Sabu tidak berminat dengan ’Projek 16 September’, tetapi Husam Musa (Naib Presiden PAS), Dr Zulkifli Ahmad (Pengarah Penyelidikan PAS Pusat) amat berminat dengan Projek Anwar Ibrahim itu.

Kebetulan pula, operator yang menggerakkan Anwar menjadi PM 916 adalah anak buah Husam iaitu Saifuddin Nasution (Pengarah Strategik PKR).

Anwar menjelajah dari pentas ke pentas ceramah dakwa, dia akan jadi PM. Husam, Dr Zulkifli dan Saifudddin sokong penuh, tetapi Ustaz Hadi dan ustaz Nasha tidak masuk campur.

Mustafa Ali, Pesuruhjaya PAS Terengganu menongkah arus, tidak bersetuju dengan retorik, bombastik politik yang tidak masuk akal dan merosakkan negara yang dilakukan oleh Anwar itu.

Mustafa yang berkuasa di media PAS telah menggunakan akhbar tabloid PAS, TV PAS dan akhbar SIASAH memaklumkan bahawa mengikut pengalaman politiknya, Projek tajaan Anwar itu tidak berjaya dan tidak lebih hanya angan-angan kosong.

Apa perasaan Anwar jika ada pihak yang cuba mensabotaj projeknya ? Ego Anwar sangat tinggi. Sifat diktatornya pun sangat tinggi. Dalam PKR, semua mesti akur kepadanya, walaupun dia hanya pegang jawatan Penasihat parti.

Sesiapa yang bermasalah dengan Anwar, bermakna seseorang itu mesti bersedia mencari pintu keluar PKR. Hal ini pernah terjadi kepada Ezam, Lokman, Nalla, dan lain-lain. Bagi PKR, Anwar ibarat seekor dewa yang tidak boleh disentuh.

Tetapi yang sabotaj projek Anwar bukan ahli PKR, dia adalah Pesuruhjaya PAS Terengganu. Kebetulan pula Mustafa adalah senegeri dengan Presiden PAS yang dianggap sebagai penyokong kuat ustaz Hadi.

Apakah Husam Musa tidak marah dengan tindakan Mustafa itu, sedangkan beliau merupakan tulang belakang utama projek Anwar ?

Tidak semena-mena Tok Guru Nik Aziz, (pendapat umum ramai mengatakan Tok Guru banyak dipengaruhi oleh Husam) marah kepada Pesuruhjaya PAS Terengganu. Tok Guru marah depan-depan kepada ustaz Hadi di Taman Malewar.

Kata Tok Guru Nik Aziz, ’tak pandai main politik, berbohong sunat tak boleh kah? Kalaupun dah tahu projek Anwar hanya pembohongan politik, tak bolehkah kita kata benar, kata Tok Guru Nik Aziz.

Itu titik permulaan pertikaian pendapat, antara dua tokoh tok guru, gara-gara projek yang dicanang oleh orang yang mengaku super hebat dan bakal PM Malaysia.

Tok guru Hadi tidak mahu berbohong dan melakukan teknik menghalalkan cara semata-mata untuk politik. Tok Guru Nik Aziz, membolehkan berbohong sunat, dan melakukan pelbagai teknik untuk mencapai cita-cita politik.

Soalnya idea teknik menghalalkan cara itu bukan datang dari PAS, tetapi datang dari manusia yang mendakwa maha hebat, bernama Anwar. Ekoran idea dari luar itu kedua tok guru terpaksa bersilat.

Pada akhir bulan Julai tahun lepas juga muncul satu blog khusus mendedahkan agenda gelap, Husam Musa. Blog itu dinamakan blog antihusam.blogspot.com.

Blog itu mendedahkan satu persatu konspirasi dalaman Husam Musa berusaha memperlekehkan kepimpinan Ustaz Hadi. Cerita-cerita dalaman dibongkar satu persatu yang mengesahkan lagi blog itu dibina oleh orang dalam PAS sendiri.

Tujuan utama blog itu dibina untuk menghalang Anwar menjadi PM dan untuk menghalang arus Husam melobi menjadi Presiden PAS.

Target tulisan blog itu ditujukan kepada Husam Musa yang dilihat sebagai ’anak emas’ kepada Anwar Ibrahim. Selepas Anwar gagal mengotakan janji menjadi PM pada 16 September, operasi blog itu dihentikan.

Walaupun begitu, operasi Husam Musa untuk melobi menjadi Presiden PAS masih belum terhenti. Anwar pun mahu Husam Musa menjadi Presiden PAS kerana akan menyenangkan perancangannya menjadikan PKR dan PAS, dua dalam satu dan Anwar sebagai kuasa atas kuasa.

Apabila Husam menjadi Presiden PAS, Anwar dapat kontrol kedua-dua parti sekaligus, PKR dan PAS.

Namun, seperti tulisan MSO, Husam turut ambil kira faktor latar belakang agama ustaz Hadi. Mampukah dia tempuh kerusi Presiden yang beraurakan Tok Guru. Di sini sekali lagi peranan Tok Guru Nik Aziz, merempuh imej Tok Guru Hadi seperti yang didedahkan oleh anak Tok Guru Nik Aziz bernama Nik Abduh.
Kata Nik Abduh, ada perancangan rapi dari orang keliling ayahandanya (Tok Guru Nik Aziz) yang berusaha melaga-lagakan antara Tok Guru Nik Aziz vs Tok Guru Haji Hadi.

Pilihan Husam, jika kekebalan aura Tok Guru Hadi masih kuat adalah kerusi Timbalan Presiden. Lobi bahagian-bahagian kuat menyebelahi Husam. Ketika itu muncullah watak-watak lain menawarkan diri termasuk Mat Sabu dan Dr Hassan Ali.

Barangkali menurut percaturan Husam, walaupun belum berjaya sepenuhnya merebut kerusi Presiden, mengisi kerusi Timbalan Presiden sudah mencukupi untuk step permulaan kerana Presiden PAS boleh dibonekakan jika barisan Timbalan dan Naib Presiden serta MT dipenuhi oleh golongan Erdogan.

Ketika itu barangkali Husam boleh melakukan ’rampasan kuasa’ dan ancam ’presiden’ ; Mahu ikut kemahuan kami atau berundur secara secara kehormat?

Pilihan ini kedua-dua akan memenangkan Husam Musa sebagai Presiden PAS, sama ada secara rasmi atau tidak.


0 comments:

Post a Comment