Anwar : Ada apa dengan BTN ?




Menonton video lama Anwar di BTN dan membandingkan dengan tindakannya hari ini tentunya menarik. Selain terdapat kontradiksi yang amat besar, tentunya akan menyerlahkan lagi wajah Anwar yang digambarkan sebagai seekor binatang 'The Chameleon' oleh majalah The Economist baru-baru ini.

Hari ini Anwar mahu dikenali sebagai 'pejuang multi-culture' tanpa sempadan agama dan budaya, tetapi berasaskan prinsip demokrasi, hak asasi dan kebebasan beragama. Lantas badan yang memperjuangkan hak keagamaan dituduhnya 'ortodok', manakala badan yang memperjuangkan hak kaum dituduhnya sebagai 'racist'.

Tetapi 16 tahun dahulu Anwar lah yang berusaha menonjolkan dirinya sebagai 'pejuang Melayu' dengan memakai kosmetik Melayu-Islam dan mengembar-gemburkan dirinya sebagai bekas Presiden PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia) dan ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia).

Maka BTN diperkudakan Anwar sebagai mengilap imejnya sebagai 'pejuang Melayu', manakala ABIM dimanipulasikan untuk menonjolkan imejnya sebagai 'pejuang Islam'. Serta IKD (Institut Kajian Dasar) yang dipimpin oleh sahabat baiknya, Kamaruddin Jaafar(bekas Setiausaha Agung ABIM) dieksploitasi sepenuhnya untuk menaikkan imej Anwar sebagai 'pejuang Melayu-Islam'.

Dr Siddiq Fadhil, bekas Presiden ABIM dan ketika itu menjadi panel IKD diberi kolum khas di Berita Harian untuk menulis sokongan secara halus kepada Anwar dengan menonjolkan penulisan bercorak Melayu-Islam yang dinamakan 'Melayu Baru'.

Pendek kata, Anwar Ibrahim yang ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan memperkudakan semua instrumen semaksima mungkin untuk menyokong popularitinya, sama ada BTN, IKD, ABIM dan PKPIM. Bukan setakat itu, institusi pengajian tinggi khususnya UIA (Universiti Islam Antarabangsa) dan badan pemikir Islam Antarabangsa dari Amerika Syarikat, bernama IIIT (International Institute of Islamic Thought) juga diperalatkan untuk kepentingan dirinya.

Semuanya digabungkan oleh Anwar menjadi satu pasukan, missionari berkempen untuk membantu memperkukuhkan dirinya sebagai bakal Perdana Menteri Malaysia.

Anwar suka pasang orang

Dari dulu hingga sekarang, sifat Anwar tidak pernah berubah, dia mahu memiliki segala-galanya untuk kepentingan dirinya. Lagaknya mengalahkan PM, bersikap diktator, mahu segala-galanya di bawah kawalannya.

Sifat Anwar suka 'memasang orang-orangnya' di pelbagai posisi. Malah semua media massa dan elektronik dikawalnya seketat-ketatnya dengan hanya menyiarkan berita-beritanya muka depan yang berbentuk positif.

Sikap 'memasang orang' dan 'mengatur soalan-soalan yang dirancang' terbukti daripada video ini.

Individu yang bertanya adalah Mustafa Kamil Ayub bertanyakan soalan untuk mengangkat imej Anwar sebagai 'Pejuang Melayu' dengan menjadi pembela hak keistimewaan orang Melayu serta mempertahankan DEB. Adakah soalan ini dirancang ? Mungkin. Sebab sifat Anwar suka merancang soalan-soalan yang sepatutnya ditanya kepada dirinya, termasuk di kalangan para wartawan.

Video ini dirakam tahun 1993, dalam Kursus Perdana BTN di Langkawi. Kursus Perdana adalah kursus yang dihadiri oleh pemegang-pemegang jawatan tinggi dalam agensi kerajaan atau swasta, apatah lagi kursus itu dihadiri sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Tahun 1993, Anwar baru sahaja memegang kuasa sebagai TPM, ekoran kemenangannya sebagai Timbalan Presiden UMNO melawan Ghafar Baba. Walaupun sebelum itu, Anwar pernah berjanji tidak akan melanggar jawatan Timbalan Presiden, kerana menghormati 'orang yang lebih tua', Ghaffar Baba (ketika itu menjadi TPM), tetapi Anwar mungkin janji pada saat akhir, dan mencalonkan dirinya sebagai Timbalan Presiden UMNO hingga Ghafar terpaksa menyerah kalah.

Sebagai TPM, Anwar bertanggungjawab menjaga BTN. Sebagai TPM yang baru memperolehi kuasa, Anwar memperalatkan BTN untuk memperkukuhkan kedudukan serta sokongan di kalangan pemegang-pemegang jawatan tertinggi dalam jabatan kerajaan dan swasta.

Kesempatan seperti ini diambil sepenuhnya oleh Anwar dengan menjadi penceramah utama dan menjawab soalan-soalan yang mempopularkan dirinya dalam Kursus Perdana BTN di Langkawi itu.

Mustafa Kamil Ayub, sememangnya sudah dikenali sebagai penyokong totok Anwar. Ketika itu Mustafa Kamil adalah Ketua Jabatan Latihan dan Kepimpinan Pelajar, bahagian Hal Ehwal Pelajar di UIA. Kemasukan Mustafa Kamil di bahagian Hal Ehwal Pelajar UIA juga diplan oleh Anwar (dengan kuasanya sebagai Presiden UIA), untuk memperkukuhkan pengaruh ABIM dan PKPIM di UIA berdasarkan rekod Mustafa Kamil sebagai Presiden PKPIM dan aktivis ABIM, sejak dari UKM lagi.

Dengan kepakaran Mustafa Kamil sebagai bekas aktivis PKPIM, ABIM dan IIFSO (klik di sini)yang sejalur dengan latar belakang Anwar, maka dia diharapkan dapat merekrut lebih ramai lagi kader-kader baru di kalangan pelajar yang sama fikrah dengan Anwar.

Selain itu Mustafa Kamil juga dilantik sebagai sahabat BTN dengan menjadi penceramah dan fasilitator BTN, yang menjelajah ke seluruh negara untuk memperkukuhkan kader-kader Anwar.

Salah seorang yang telah direkrut adalah Rosli Abdullah, bekas aktivis PKPIM yang diterap masuk ke dalam BTN setelah tamat belajar. Hasil daripada kroni PKPIM/ABIM, Rosli dilantik menjadi Pengarah BTN Terengganu. Apabila Anwar dipecat daripada UMNO, Mustafa Kamil Ayub dan Rosli Abdullah ikut jejak langkah Anwar. Mustafa Kamil sertai Keadilan, manakala Rosli Abdullah sertai PAS dengan menjadi Pengarah UBI (Unit Bimbingan Ummah) semasa PAS memerintah Terengganu.

Anwar kata bukan Melayu 'pendatang' ?

Soalan Mustafa Kamil disambut oleh Anwar dengan penuh ghairah. Sesuatu yang mengejutkan, Anwar menggelar kaum Cina dan India sebagai 'pendatang', sedangkan hari ini Anwar mendakwa orang bukan Melayu bukan pendatang, malah Anwar menuduh pula kaum Melayu sebagai pendatang sama seperti Cina dan India. Dakwa Anwar hari ini, kaum Melayu bukan kaum asal di tanah air ini, kaum asal adalah penduduk orang asli. Itu hujah dipegang Anwar sekarang ini.

Tetapi 16 tahun dahulu, ketika Anwar berada dalam kerajaan, Melayu adalah penduduk asal, manakala bukan Melayu adalah 'pendatang'. Malah ditemplaknya kaum pendatang itu agar jangan mengungkit persoalan hak keistimewaan orang Melayu kerana sudah termaktub dalam 'perjanjian keramat' (termaktub dalam perlembagaan) yang mewartakan kedudukan Bahasa Melayu, Agama Islam dan Hak Keistimewaan Orang-orang Melayu.

Lebih menarik lagi, walaupun Anwar mendakwa dirinya sebagai 'pejuang Bahasa Melayu', tetapi dalam kursus itu, Anwar begitu berbangga menggunakan bahasa rojak, (Bahasa Melayu campur Bahasa Inggeris), walaupun pesertanya adalah Melayu.

Dr Mahathir yang pernah menyampaikan ceramah dan menjawab sesi soal jawab dalam kursus perdana BTN, menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya dan tidak pernah menggunakan bahasa rojak seperti Anwar.

Itulah sikap Anwar, terlalu banyak mahu menjadi 'pejuang'; Pejuang Bahasa, agama, kaum akhirnya semuanya menjadi rojak! Bukan setakat rojak, tetapi boleh berubah-ubah dan tidak konsisten, akhirnya semuanya hancur lebur!

Lebih menarik lagi, ketika Anwar mempertahankan hak keistimewaan Melayu dan DEB, dia membuat perbandingan dengan Amerika Syarikat. Semuanya mesti merujuk kepada Amerika Syarikat, hinggakan kaum Melayu di Malaysia juga mahu disinonimkan dengan bangsa Barat di Amerika Syarikat.

Kenapa Anwar bakar pejabat BTN Bellamy dan pejabat IIIT di UIA ?

Satu peristiwa paling menarik dan masih menjadi misteri sampai ke hari ini, ketika Anwar dipecat daripada UMNO, dua tempat yang dikaitkan sebagai pusat operasi Anwar terbakar secara tiba-tiba. Satu perancangan atau kebetulan ? Kenapa kedua-duanya 'dibakar' serentak ?

Satu daripadanya adalah ibu pejabat BTN di Bellamy, Kuala Lumpur. Keduanya ibu pejabat IIIT (Malaysia) di UIA, Petaling Jaya. Kebakaran itu mengakibatkan semua dokumen-dokumen penting berkaitan dengan operasi BTN dan IIIT musnah.

Kenapa berlaku perancangan membakar kedua-dua pusat operasi Anwar, ketika Anwar kehilangan kuasa ? Ada sesuatu mahu dilindungi ?




5 comments:

Post a Comment