Kes liwat Anwar : Membaca bahasa tersirat Nasruddin Tantawi

Video wawancara Malaysiakini dengan Nasruddin Tantawi membuka dimensi baru tentang pegangan Dewan Pemuda PAS terhadap isu liwat dan homoseksual yang disabitkan kepada Anwar Ibrahim.


Barangkali Malaysiakini memilih Nasruddin Tantawi kerana watak baru dalam Dewan pemuda PAS yang berimejkan ulama. Sudah tentu pemikiran, sikap dan tindak tanduknya amat berbeza dengan ketua Dewan Pemuda sebelum ini baik semasa Mahfuz Omar atau Salahuddin Ayub yang dikatakan mewakili kem profesional dalam PAS.

Nampaknya Nasruddin Tantawi kurang selesa (berdasarkan cara cakapnya) apabila diprovoke oleh wartawan Malaysiakini, khusus menyentuh berkenaan dengan kes liwat Anwar. Sebagai seorang kelulusan agama dari Jordan dan Al Azhar Mesir, beliau memilih sudut-sudut tertentu yang tidak mendamagekan Pakatan Rakyat yang turut disokong oleh partinya PAS.

Mungkin kalau wawancara itu bersama Salahuddin Ayub atau Husam Musa, bertanyakan tentang kes liwat, sudah tentu jawapannya berbeza. Mungkin kedua-duanya akan membersihkan imej Anwar sepenuh-penuhnya tanpa keraguan. Mungkin mereka akan membela Anwar habis-habisan, seolah-olah Anwar pemimpin maksum, yang tidak melakukan perkara-perkara tidak bermoral, apatah lagi melakukan perbuatan terkutuk itu.

Tetapi pandangan Nasruddin Tantawi yang mengenal hukum halal haram agak berlainan dan terdapat ruang-ruang kelabu yang sengaja disimpan dan tidak diteroka sepenuhnya.

Pertama : Nasruddin mengakui Anwar adalah figur penting dalam Pakatan, walaupun terdapat pro dan kontranya. Beliau tidak menjelaskan lanjut maksud pro dan kontra itu. Pendapat ini lebih rasional, kerana jika ditanya kepada kumpulan Erdogan yang pro Anwarisme, mereka tidak akan meletakkan titik kelabu yakni tidak menyatakan pelantikan Anwar tidak dipertikaikan. Tetapi Nasruddin memilih pelantikan Anwar terdapat pro dan kontranya, terutama dari sudut kredibiliti dan keperibadian. Bermakna terdapat pihak yang bersetuju dan terdapat pihak yang tidak setuju. Jawapan sebegini akan mengundang pertanyaan dan ruang kelabu; siapa yang tidak bersetuju, kenapa mereka tidak bersetuju dengan Anwar dan kenapa pula ketidaksetujuan kepada Anwar itu dikaitkan dengan kredibiliti dan keperibadian ?

Kedua : Ketika ditanya apakah kes liwat Anwar didengar di mahkamah ? Nasrudin dengan tanpa keraguan mengiakan kes liwat itu akan didengar di mahkamah. Tetapi jika soalan yang sama ditanya kepada Sivarasa Rasiah, Naib Presiden PKR, sudah tentu jawapannya berlainan. Seperti yang ditegaskan oleh Sivarasa sebelum ini, kes ini tidak patut didengar di mahkamah kerana tiada kes dan ini merupakan pertuduhan jahat untuk menjatuhkan kredibiliti Anwar. Kalau ditanya kepada Husam Musa atau Khalid Samad yang mewakili kem Erdogan PAS, jawapannya pun hampir sama dengan Sivarasa Rasiah yang akan menjaja idea Anwar iaitu Konspirasi politik. Tetapi Nasruddin memilih jawapan dari sudut lain yang berbeza dengan Sivarasa Rasiah, Husam Musa atau Khalid Samad. Itupun satu lagi ruang kelabu yang boleh diperdebatkan.

Ketiga : Ketika ditanya apakah kes liwat Anwar akan menjejaskan hubungan Pakatan rakyat ? Nasruddin menjawab, "setakat ini.. kita melihat dari sudut momentum rakyat, sejak dari zaman dia (Anwar) dizalimi dari zaman 'Reformasi' (1998), kes (liwat) yang dialami oleh Anwar Ibrahim tidak dapat menjejaskan kredibilitinya" Nasruddin memberi alasan kenapa orang tidak menerimanya dengan berkata begini; "Penganiyaan dan kezaliman UMNO/BN lebih menonjol daripada Anwar..jadi orang tidak fokus kepada apa yang dipolemikkan atau ditimbulkan atas peribadi (liwat) Anwar Ibrahim..tetapi orang akan melihat kepada UMNO/BN yang bertindak ke atas Anwar..saya nampak, bila timbul isu liwat Anwar Ibrahim, ia tidak boleh menutup kezaliman UMNO/BN..kalau kita lihat sistem kehakiman mahkamah juga dipertikaikan..misalnya kes Perak gagal diterima sepenuhnya oleh rakyat.."

Keempat : Tanpa diprovoke oleh wartawan, Nasruddin turut menjangkakan Anwar bakal didapati bersalah oleh mahkamah atas tuduhan meliwat. Katanya, "Takdir katalah ... [saya harap tidak jadi begitu], takdir katalah mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas Anwar dan mensabitkan kesalahan sekalipun saya percaya sukar diterima oleh rakyat, kerana ketelusan dan kredibiliti kehakiman negara gagal dipulihkan..jadi sekiranya di situ tidak settle..Anwar ke siapa ke, semua itu orang melihat adalah mangsa kezaliman UMNO dan BN.."


Makna tersirat kes liwat dan mahkamah

Berdasarkan jawapan Nasruddin tentang perkara 4 dan 5 banyak ruang kelabu yang belum diterokai sepenuhnya. Nasruddin memikir masa untuk menjawab. Dia memulakan ayat dengan 'setakat (hari) ini' bermakna ruang jawapan/pendirian PAS boleh berubah mengikut keadaan semasa bergantung kepada sokongan/momentum rakyat. Jawapan yang tidak muktamad bergantung kepada keadaan semasa terutamanya bergantung kepada mood rakyat.

Kunci jawapan Nasruddin, bukan soal liwat atau tidak, tetapi soal kezaliman UMNO/BN yang terlalu besar hingga menenggelamkan permasalahan sebenar - isu liwat.

Nasruddin berhujah berasaskan apa yang berlaku pada tahun 1998 dengan mengatakan rakyat tidak membicarakan soal isu keperibadian Anwar (liwat), tetapi rakyat melihat apa yang telah dilakukan oleh kerajaan ke atas Anwar(lembab mata).

Bermakna berdasarkan jawapan ini, sokongan PAS ke atas Anwar bergantung kepada tahap sokongan rakyat. Bukan isu liwat atau tidak, tetapi bergantung kepada kadar kepercayaan rakyat. Jika rakyat menerima Anwar sebagai peliwat, kemungkinan besar PAS akan menolak Anwar dan jika rakyat masih menolak tuduhan liwat itu, maka PAS akan bersama-sama Anwar.

Nasruddin juga berhujah tentang kemungkinan Anwar akan disabitkan sekali lagi tuduhan bersalah meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari, apa kesannya kepada rakyat dan PAS. Fokus jawapan Nasruddin meletakkan Anwar di kandang 'orang bersalah' pun sebenarnya sudah berbeza dengan jawapan Sivarasa Rasiah. Seorang penyokong Anwarisme atau Erdogan tidak akan meletakkan Anwar di kandang orang bersalah dan mereka seboleh-bolehnya menepis cubaan konspirasi politik untuk menghancurkan karier Anwar.

Tidak terkeluar ayat popular "konspirasi politik" dari mulut Ketua Dewan Pemuda PAS ini, sedangkan slogan itu amat popular dilaungkan oleh Anwar dan dipanjangkan oleh para penyokongnya.

Nasruddin berhujah berasaskan fokus zaman reformasi dan bukannya fokus zaman sekarang. Bermakna kes itu belum bermula dan beliau belum dapat memastikan mood dan sokongan rakyat kepada Anwar.

Hujah Nasruddin tentang ketelusan mahkamah juga kelabu. Beliau hanya memberi contoh tentang kes Perak, yang semestinya berkaitan dengan PAS. Tiada contoh lain diberikan, terutamanya berkaitan kes spesifik liwat yang pernah dialami Anwar.

Mahkamah yang dikatakan tidak telus itu juga telah memenangkan Nizar sebagai Menteri besar Perak. Mahkamah itu juga yang telah membebaskan Anwar pada tahun 2004, meskipun ketiga-tiga hakim panel rayuan bersetuju berlaku perbuatan meliwat di antara Anwar, Azizan Abu Bakar (bekas pemandu peribadi Dr Wan Azizah) dan Sukma Darmawan (adik angkat Anwar).

Anwar dibebaskan bukan soal meliwat atau tidak, tetapi dibebaskan atas soal-soal teknikal berkaitan dengan masa kejadian.

Namun jawapan Nasruddin, bukanlah jawapan yang menolak sepenuhnya keputusan mahkamah, tetapi tidak diterima sepenuhnya. Inilah yang dimaksudkan ruang kelabu, di mana terdapat sejumlah yang menerima dan menolak keputusan mahkamah.

Jika dikiaskan kes liwat yang bakal ditempuhi oleh Anwar pada bulan Julai nanti dengan kes Perak, apa kesudahannya kes Perak akibat keputusan mahkamah?

Namun begitu, kiasan itu terlalu berbeza, kerana kes politik (Perak) amat berlainan dengan kes peribadi (liwat) yang dikenakan ke atas Anwar Ibrahim.


Kes liwat 1998 dengan 2008 sama ?

Kes liwat 1998, mula dibicarakan pada 9 Jun 1999. Tuduhan " Anwar bersubahat dengan Sukma didakwa melakukan liwat yang bertentangan dengan hukum tabii dengan Azizan Abu Bakar pada suatu malam antara Januari dan Mac 1993 kira-kira pukul 7.45 malam di unit No 10-7-2, Tivoli Villa, Jalan Medang Tanduk, Bangsar, Kuala Lumpur

Mereka didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Di bawah seksyen itu ia membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan sebat. Keputusannya Mahkamah Tinggi mendapati Anwar dan Sukma bersalah. Anwar dihukum 9 tahun penjara dan Sukma dihukum 6 tahun penjara. Keputusan dibuat oleh Hakim Datuk Ariffin Jaka, pada 8 Ogos 2000.

Kes liwat 2008 - Anwar,61, bekas Timbalan Perdana Menteri dan menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, pada 26 Jun tahun lalu, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Kondominium, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Walaupun Anwar berusaha menyamakan kes liwat 1998, dengan kes liwat 2008, tetapi benarkah sama ?

Pastinya yang sama adalah 'kegemaran' Anwar 'meliwat' :

"Walaupun sudah membaca rekod rayuan tersebut, kami menjumpai bukti menunjukkan bahawa pihak perayu (Datuk Seri Anwar dan Sukma) terlibat dalam aktiviti homoseksual dan kami cenderung ke arah mempercayai bahawa tuduhan insiden di Tivoli Villa itu benar-benar berlaku" - Keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 September 2004, oleh Datuk Abdul Hamid Mohamad, Datuk Tengku Baharudin Shah Tengku Mahmud dan Datin Paduka Rahmah Hussain"

"Bismillahirrahman nirrahim. Pada hari ini, 15 Ogos 2008, saya Mohd Saiful Bukhari Bin Azlan, No Kad Pengenalan 850706-01-5687 dengan ini sesungguhnya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang berikrar dan bersumpah seperti berikut….A’uzubilahiminasyaitanirrajim. Bismillahirrahman nirrahim. Wallahi…Wabillahi….Wata’alahi. Saya bersumpah bahawa saya telah diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 hb Jun 2008 iaitu pada tarikh tersebut Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memasukkan zakarnya ke dalam lubang dubur saya. Jika saya berdusta, atas pengakuan ini, maka saya berdusta terhadap Allah dan saya sanggup menerima azab, laknat dan kutukan daripada Allah hingga ke kiamat. Wallahualam.” - Sumpah Saiful Bukhari, di Masjid Wilayah Persekutuan pada 15 Ogos 2008.

Pastinya yang berbeza, Azizan Abu Bakar dahulunya tidak bersumpah di masjid, tetapi bersumpah dengan akauan bersumpah menggunakan nama Allah, dan kebenarannya hanya ditentukan oleh mahkamah. Manakala Saiful Bukhari Azlan bersumpah dengan kalimah "Wallahi…Wabillahi….Wata’alahi" di Masjid Wilayah Persekutuan.

Lebih membezakan lagi, pada tahun 1998, tuduhan liwat dikenakan selepas Anwar dipecat daripada UMNO. Ketika itu beliau bergelar Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia. Ketika itu ramai rakyat keluar di jalan raya, menyahut seruan 'Reformasi' Anwar. Ezam Mohd Nor, Lokman Nor Adam, Ghani Haron, Dr Chandra Muzaffar menjadi benteng utama membela Anwar.

Kes liwat 2008, tanpa siapa sangka, bekas pembantu Anwar, Saiful Bukhari Azlan mendakwa dirinya diliwat dan membuat laporan polis pada 28 Jun 2008. Pada malam, tarikh yang sama Anwar lari berlindung di Kedutaan Asing. Ketika itu Anwar lebih dikenali oleh negara Barat kerana telah menetap dua tahun di Amerika Syarikat, bermula pada 2005-2007. Negara-negara Barat lebih mengenali Anwar kerana Anwar pernah memegang jawatan Foundation For The Future (Yayasan di bawah Jabatan Negara Amerika), Pensyarah pelawat Universiti Johns Hopkin dan Georgetown, kedua-dua universiti Amerika Syarikat.

Ketika tuduhan kedua ini, Ezam Mohd Nor, Lokman Nor Adam, Ghani Haron, Dr Chandra Muzaffar bukan lagi menjadi benteng utama Anwar, malah mereka merupakan penentang utama Anwar.

Sebab itu Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS membuat kenyataan begini (klik di sini) ketika diwawancara oleh The Star, 22 Julai 2008;

“I am not sure of his popularity when compared to 1998. The latest developments – the Saiful event and the statutory declaration by private investigator P. Balasubramaniam – have affected Anwar’s credibility"

(Saya tidak pasti kepopularitian dia (Anwar) berbanding dengan 1998. Dengan perkembangan sekarang, kes Saiful dan pengakuan bersumpah P. Balasubramaniam, penyiasat persendirian memberi kesan kepada kredibiliti Anwar)

“Still, his ability to lead is unquestionable. It’s arguable that the Malay community is also starting to believe the accusations against Anwar. His delay in taking an oath to swear on the Quran is also an issue.”


(Masih lagi diragukan keupayaan Anwar untuk memimpin. Kredibiliti Anwar di kalangan masyarakat Melayu juga telah mula dipertikaikan. Keengganannya untuk bersumpah dengan Al Quran juga turut menjadi isu)


Kesimpulan

Berdasarkan hujah-hujah di atas, nampak kes liwat Anwar 2008 ini menjadi semakin rumit. Sebab itu tidak menghairankan jika Nasruddin Tantawi, memilih pendekatan yang paling berhikmah.

Terakhir, Nasruddin memilih pendekatan untuk berdiri teguh di belakang Presiden PAS, Tuan Guru Haji Hadi Awang.

Menurut Nasruddin, Haji Hadi Awang, bukan sahaja terkenal di dalam negara, tetapi terkenal di luar negara. Beliau mempunyai forum-forum yang sangat dihormati di peringkat antarabangsa, dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Pembebasan Al Qud (Jordan) dan Ahli Jawatan Kuasa Sunni-Syiah (Iraq)

Jika diteliti bahasa tersirat Nasruddin ini, sudah tentu, beliau ingin menggambarkan bahawa Presiden PAS juga terkenal di peringkat antarabangsa khususnya dunia Islam yang bertentangan dengan aliran tajaan Amerika Syarikat.

Selalunya Anwar Ibrahim sahaja digambarkan terkenal di peringkat antarabangsa, khususnya dunia Islam, tetapi yang membezakan dunia Islam itu semuanya adalah sealiran atau di bawah naungan Amerika Syarikat.

Bezanya, Haji Hadi Awang diklaskan dalam kelompok ulama dunia Islam, manakala Anwar Ibrahim adalah kelompok Muslim Moderat sama seperti Mir Hossein Mousavi, yang pro Barat di Iran.

Jadi Malaysiakini telah memberi tajuk yang tepat kepada interbiu ini - "Kes Liwat Tidak Jejas Pakatan - Nasruddin Tantawi", kerana Ketua Dewan Pemuda PAS itu mempunyai jawapan sendiri yang tidak diucapkan dalam wawancaranya.

Merenung ke dalam, saya juga tahu jawapannya.




1 comments:

Post a Comment